Ini Restoren Kegemaran Untuk Agong Baru Kita Jika Ingin Sarapan Pagi..

Advertisements

Spread the love
  •  
  •  
  •  

KUANTAN: “Baginda mula datang bersarapan ke restoran saya pada 23 November 2017, ketika itu baginda baharu selesai menunaikan solat Subuh secara berjemaah dan berkenan untuk mencuba nasi lemak dan roti canai di restoran kami.

“Masa itu kami tidak tahu baginda hendak datang dan tidak buat apa-apa persiapan, lama-kelamaan baharu kami tahu baginda sebenarnya tidak terlalu mengikut protokol,” kata pemilik restoran D’Wafi, Rosnida Che Soh.

Pemilik restorannya D’Wafi, Rosnida Che Soh, 44. (dua dari kanan) bersama pekerjanya bergambar kenangan bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika baginda mengunjungi restorannya. – Foto ihsan Istana Abdul Aziz

Rosnida, 44, ketika menceritakan pengalaman melayani Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sering berkunjung ke restorannya untuk bersarapan berkata, pada peringkat awal baginda hanya duduk di meja biasa bersama kariah Masjid Imam Ash Shafie di Bandar KotaSAS, di sini dan beberapa pegawai istana.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengambil inisiatif menyediakan meja khas bersama kain alas meja kuning sebagai menghormati baginda yang juga tetamu eksklusif restorannya itu.

“Pihak istana atau baginda sendiri tidak minta (meja khas dan alas meja berwarna kuning) kami ambil inisiatif sediakan. Kami juga sediakan pinggan dan cawan khas untuk baginda.

“Baginda amat ringkas orangnya, apabila baginda datang bersarapan kami sudah tahu menu apa yang diinginkan. Roti canai garing, nasi lemak dan dua biji telur separuh masak antara yang sering dipesan,” katanya.

Rosnida Che Soh, 44 bersama pekerjanya menyusun tepung roti canai ketika temui di restorannya D’Wafi. Menurutnya, Sultan Pahang, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah selalu berkunjung ke restorannya selepas menunaikan solat subuh. – Foto Muhd Asyraf Sawal

Rosnida yang memulakan perniagaan sejak 2015 berkata, Al-Sultan Abdullah akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam apabila bersarapan dan sering berkunjung ke restorannya pada jam 6.45 pagi.

Katanya, baginda akan bersarapan dalam dua atau sekali seminggu bersama kariah masjid dan sering belanja orang ramai turut bersarapan bersama baginda pada waktu itu.

“Kadang-kala Tengku Puan (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) turut berangkat menemani baginda bersama pegawai istana. Bila baginda datang secara automatik kedai saya akan diserbu rakyat jelata yang ingin melihat Sultan Pahang secara dekat,” katanya.

Rosnida berharap keakraban bersama baginda dan isteri dapat diteruskan pada masa akan datang walaupun baginda sudah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, mulai 31 Januari ini.

Beliau berkata, Restoran D’ Wafi yang terletak di Indera Mahkota 8, di sini, menyajikan hidangan roti canai, nasi lemak, nasi minyak, laksam dan beberapa jenis kuih serta beroperasi seawal jam 6 pagi hingga 2 petang.

Sumber : Berita Harian


Spread the love
  •  
  •  
  •  

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *